Terganggu betul jiwa dan perasaan ni bila pagi-pagi buka tv, tengok berita gugurnya seorang lagi perwira negara kita di Lahad Datu. Fiza nak ucapkan takziah kepada keluarga perwira negara yang terkorban untuk menjaga keamanan negara.
berat mata kita yang memandang, berat lagi hati ibu dan keluarga yang menanggung. Entah la ye, lepas dah jadi ibu ni, Fiza makin sensitif pulak dengan hati dan perasaan wanita-wanita yang bergelar ibu ni. Tapi apa pun pemergian mereka adalah dalam keadaan yang sangat mulia. InsyaAllah semoga roh mereka ditempatkan bersama para syahid.
untuk kita yang berada jauh dari Lahad Datu ni, jadikan segala apa yang berlaku ini sebagai satu peringatan agar kita tidak terlalu leka dengan kesenangan yang kita kecapi.
ini adalah doa yang fiza pinjam dan share dari www.mynewshub.my marilah sama-sama kita sedekah kan Al-Fatihah kepada perwira negara yang terkorban dan marilah kita titipkan juga doa untuk perwira-perwira yang sedang berjuang.
Semoga negara kita sentiasa dilindungi oleh-NYA dan semoga masalah ini segera berakhir.
Bismillahirrahmanirrahim :
Ya Allah Ya Tuhan kami, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Tuhan yang mempunyai kekuasaan dan kebesaran. Tuhan penganugerah keselamatan dan kesejahteraan. Kami hamba-hamba-Mu menadah tangan sebagai tanda syukur yang tidak terhingga untuk dihitungnya, atas keselamatan dan kesejahteraan, kesihatan dan kenikmatan yang Engkau anugerahkan ke atas negara kami yang tercinta ini Ya Allah.
Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau campakkanlah jaluran kerahmatan yang berpanjangan kepada kami, Engkau simpulkanlah ikatan ukhwah penuh keserasian, Engkau labuhkan tirai keampunan maghfirah penuh keinsafan, Engkau jaringkan tangsi hidayah dan inayah yang berkekalan, Engkau titiskan darjah kesolehan dan kesihatan yang berkekalan buat kami, anak-anak watan juga keluarga yang tersayang.
Wahai pejuang-pejuang dan perwira-perwira negara, bangkit dan bersumpahlah berpaksikan kalimah akidah tauhid Laailahaillallah Muhammadur Rasulullah, bahawa tidak akan kami biarkan bumi yang bertuah penuh bersejarah ini, diinjak pijak, disentap rentap, diselat lipat dek musuh durjana petualang bangsa ya Allah.
Tidak akan kami biarkan, biar ia putih bersih, tidak akan kami biarkan ya Allah, biarkan kami mencurahkan segala kesangggupan dan keupayaan kami di dalam mempertahankan negara kami dari sebarang kekacauan, huru hara dan pencerobohan. Biarkan kami berputih tulang namun tidak sekali-kali kami berputih mata menyerahkan kedaulatan negara kepada pengkhianat bangsa, agama dan negara Malaysia yang kami cintai ini walaupun roh kami melayang menjadi taruhan menyembah sujud bertemu-Mu ya Salam.
No comments:
Post a Comment